Isnin, 21 Februari 2011

Usaha Cari Gali Artifak Di Gua Bewah Diteruskan

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Usaha mencari gali bahan-bahan sejarah di kawasan Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Lebih banyak artifak berharga dijangka bakal ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir, apabila usaha mencari gali bahan-bahan sejarah di kawasan tersebut diteruskan tidak lama lagi.

Usaha mencari gali artifak di kawasan tersebut yang diuruskan pakar pengkaji bahan-bahan sejarah, merupakan kesinambungan kerja-kerja mencari gali yang dilakukan pada tahun 2009.

Pegawai Perhubungan Awam dan Pemasaran Perbadanan Muzium Negeri Terengganu, Mohd Saberi Muda, berkata pihaknya yakin Gua Bewah menyimpan banyak khazanah berharga berdasarkan hasil penemuan usaha cari gali di kawasan itu yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, pada pencarian yang dilakukan dua tahun lalu muzium itu berjaya menemui pelbagai bahan sejarah, termasuk satu rangka manusia yang dipercayai berusia 11,000 tahun.



Penemuan itu berjaya menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahamd Said, yang turut melawat kawasan berkenaan bersama-sama pegawai kanan kerajaan dan Pengarah Muzium negeri, Haji Mohd Yusof Abdullah.

Mohd Saberi berkata, Gua Bewah merupakan batu kapur yang menjadi penempatan terawal manusia zaman pra-sejarah di negara ini.

Sebanyak 613 artifak ditemuki hasil kerja mencari gali di kawasan tersebut yang dimulakan pada 2009 hingga tahun lepas.

Kerajaan negeri mahu mengekalkan artifak manusia kuno itu di Gua Bewah sebagai daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir, khususnya di kalangan pencinta sejarah.

Selasa, 4 Januari 2011

LAYARI TEGANUKITA

Selasa, 24 November 2009

PELUANG KEUSAHAWANAN INDUSTRI PETROKIMIA

Pada : 25 November 2009

Jam : 8.30 pagi - 9.15 pagi

Program : TAKLIMAT PELUANG KEUSAHAWANAN INDUSTRI PETROKIMIA

Perasmian Oleh : YB Dato' Mohamed bin Awang Tera, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan & Koperasi Negeri Terengganu pada jam 10.30 pagi.

Tempat : Dewan Konvensyen Pusat Dagangan Terengganu, Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Rabu, 10 Jun 2009

Layari TEGANUKITA

Untuk info terkini, sila layari :

http://teganukita.blogspot.com/

Selasa, 19 Mei 2009

Kereta Kabel Dibangunkan Di Tasik Kenyir

Oleh : AIDA ABD RAHMAN



Perkhidmatan kereta kabel yang pertama bakal dibina di Tasik Kenyir tahun depan mampu merancakkan lagi usaha pembangunan dan menarik lebih ramai pelawat ke tasik itu.

Kemudahan pengangkutan itu dapat menghubungkan jarak 500 meter antara Pulau Gawi dengan Pulau Poh yang akan dibangunkan sebagai Taman Tema Air.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata idea membangunkan kereta kabel berkenaan timbul selepas beliau melawat pulau yang sedang dibangunkan dengan projek Kenyir Island Hoping (KIH).



Katanya, kerajaan negeri akan mengenal pasti anggaran menyediakan kemudahan pengangkutan itu daripada syarikat perunding termasuk daripada syarikat pengendali kereta kabel di Pulau Langkawi.

“Dengan adanya kereta kabel, pelawat boleh memilih sama ada menggunakan bot atau kereta kabel.

Apabila lebuh raya siap, kita ada jalan alternatif yang boleh kita sediakan perkhidmatan lain seperti bas. Apabila ada permintaan kita akan sediakan dan itu tidak menjadi masalah,” kata Menteri Besar ketika sidang akhbar selepas meninjau Tasik Kenyir serta kemajuan KIH bersama jabatan dan agensi terlibat termasuk sekumpulan media, di Pulau Petang, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, kelmarin (17 Mei).

Katanya, kerajaan akan memastikan Taman Orkid, Taman Burung, Taman Rama-rama, Taman Buah-buahan dan Taman Eko dapat berjalan lancar dan disiapkan pada tahun ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan menambah 20 unit chalet di Pulau Petang menjadikan jumlah keseluruhan 56 unit bagi menampung keperluan pengunjung yang menginap di Tasik Kenyir pada masa depan.



Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib, pembangunan KIH juga memberi impak kepada jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini kerana Tasik Kenyir boleh dilawati tanpa mengira musim dan masa walaupun ketika tengkujuh.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta untuk membangunkan KIH yang mana Ketengah dipertanggungjawabkan memantau usaha itu dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Laluan Singkat Ke Tasik Kenyir

Oleh : AIDA ABD RAHMAN



Projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) melibatkan pakej 11 dan pakej 12 menghubungkan Batu Hampar ke Gemuroh yang dijangka dapat digunakan awal tahun depan mampu memendekkan masa dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Tasik Kenyir.

Jalan singkat berkenaan hanya mengambil masa 35 minit dari LTSM berbanding sejam masa yang diambil ketika ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata dengan siapnya laluan Pakej 11 dan 12 berkenaan pastinya mampu meningkatkan usaha membangunkan Tasik Kenyir dan menarik lebih ramai pelawat, terutama dari luar Terengganu berkunjung ke pusat pelancongan itu.



Beliau berkata, sehingga kini, Pakej 12 sudah mencapai 83 peratus kemajuan projek. Bagaimanapun, Pakej 11 memerlukan projek ditender kepada pemaju lain berikutan pemaju asal berdepan dengan masalah menyiapkan projek akibat kos yang meningkat sekali ganda.

“Batu dah dimasukkan cuma premix ( bitumen) tak dapat dimasukkan kerana kos meningkat sekali ganda menyebabkan mereka (pemaju) tak mampu laksanakan.

“Kalau buat pun mereka mengalami kerugian. Sebab itulah mereka serah diri dan kita telah buat tender semula melibatkan enam kilometer (km) dan sekarang dalam proses menunggu keputusan daripada Lembega Tender,” kata Menteri Besar ketika melawat Projek LPT Fasa 2 (Pakej 12) di Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu, hari ini (18 Mei).

Katanya, kegagalan pemaju meneruskan projek laluan pakej 12 kerana harga primex yang meningkat sekali ganda berbanding harga yang ditender sebelum ini.


Bagaimanapun, kerajaan akan memastikan proses memasukkan tender primex berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Dalam pada itu, kerajaan juga sedang mengenalpasti pemaju lain untuk menamatkan kontrak mereka kerana kegagalan menyiapkan projek (primex) bagi memastikan mereka tidak menanggung kerugian yang lebih besar serta disenaraihitam daripada meneruskan projek lebuh raya yang lain.

Projek LPT Fasa 2 merupakan projek sambungan kepada LPT Fasa 1 bermula dari Jabur hingga ke Gemuroh, Kuala Terengganu sepanjang 180 km.



Sebanyak 70 peratus daripada skop kerja diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya secara tender (50 eratus terbuka dan 50 peratus bumiputera tempatan) manakala 30 peratus dilaksanakansecara reka dan bina secara rundingan terus di bawah seliaan Lembaga Lebuh Raya Malaysia.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Dato' Ahmad Tetap MB Terengganu-TPM

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin hari ini menegaskan Dato’Ahmad Said adalah Menteri Besar Terengganu dan tidak ada apa-apa perubahan yang akan dibuat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu hari ini (16 Mei).

“Setakat ini saya tak dengar apa-apa dan berharap situasi politik di negeri ini bertambah baik,” katanya ketika menjawab pertanyaan yang diajukan pemberita mengenai desas desus jawatan Menteri Besar Terengganu akan diganti.

Katanya, apa yang penting sekarang adalah kekuatan Barisan Nasional (BN) dan UMNO di negeri ini perlu dipertingkatkan dan di beri keutamaan.

“Saya percaya semua kepimpinan umno termasuk di kalangan ahli-ahli yang berhormat dan pemimpin bahagian akan cuba mengorak langkah baru untuk mewujudkan persefahaman yang lebih baik,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin berkata, rakyat telah memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negeri ini dan tumpuan harus diberi sepenuh masa untuk pembangunan dan mengukuhkan perpaduan kalangan ahli masyarakat.

Katanya, Terengganu mempunyai banyak sumber alam semulajadi termasuk minyak dan rakyat negeri ini tentu mahu melihat lebih banyak pembangunan dan faedah yang mereka perolehi daripada kerajaan yang mereka pilih.

“Walaupun ada perselisihan dan percanggahan pendapat tapi harus ada jalan penyelesaian dan dilaksanakan sebaik mungkin. Apa yang penting perpaduan harus diutamakan,” katanya.

“Pemimpin parti yang berjawatan atau pemimpin parti yang tidak berjawatan harus berganding bahu pertahankan kepentingan rakyat. Keperluan masyarakat perlu mereka utamakan kerana rakyat telah memberi kepercayaan kepada mereka untuk menjadi pemimpin mereka,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu